Mari menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak
Ramadhan adalah bulan ibadah, bulan yang mulia dan lebih utama daripada  bulan yang lain. Lantaran itu bulan Ramadhan perlu diutamakan, disambut  dengan persediaan dan dihayati.
Menyambut Ramadhan
Apabila bulan Ramadhan menjelang tiba, mukmin sejali berkemas-kemas dan  bersiap-siap menanti kedatangannya. Mereka menyambut dengan penuh  kesukaan, penuh keriangan; penuh kegembiraan dan penuh harapan.  Seseorang yang bercita-cita menjadi mukmin sejati juga perlu mencontohi  sifat itu.
Memang selayaknya seseorang itu berasa gembira dengan kedatangan  Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan berkat yang membawa rahmat. Setiap  amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan berlipat ganda ganjarannya.  Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan latihan menjinakkan nafsu yang liar  dan mendidik jiwa.
Persiapan yang praktikal menyambut kedatangan Ramadhan ialah:
1. Mengulang-ulang kembali pelajaran yang berkenaan dengan puasa, agar  kita memasuki dan menjalani bulan Ramadhan itu dengan pengetahuan yang  mantap.
Pelajaran itu seharusnya memberi pengetahuan tentang rukun, syarat,  adab, faedah, rahsia dan hikmah-hikmah yang terkandung dalam puasa,  qiamullail, tarawih, membaca Al-Quran dan sebagainya.
2. Memperlihatkan kepada sesama kita kesenangan perasaan hati,  kegembiraan dan keghairahan menghadapi bulan puasa sebagaimana  Rasulullah SAW dan para sahabat pernah lakukan.
3. Membanyakkan doa, moga-moga Allah memberikan tenaga kelapangan dan  kesempatan mengerjakan puasa. Berharap agar Allah memimpin kita supaya  dapat menunaikan puasa itu dengan hati yang jujur dan ikhlas.
4. Menguatkan semangat dan himmah untuk menjalankan latihan dengan  sempurna. Bulan Ramadhan ialah bulan ujian dan latihan memerangi hawa  nafsu makan, syahwat, tamak dan haloba. Jika nafsu berjaya ditundukkan,  mudahlah untuk terus mendekatkan diri kepada Allah dengan membanyakkan  ibadah. Seterusnya mensucikan diri dari dosa-dosa serta menghiasi diri  dengan pekerti yang mulia.
5. Menyediakan diri untuk menjaga dan memelihara amalan yang akan  dilakukan di bulan Ramadhan. Persediaan yang boleh dibuat ialah  menyediakan jiwa dan kemahuan yang sungguh-sungguh untuk merebut  keistimewaan bulan Ramadhan. Bersedia jiwa untuk meningkatkan amal  ibadah dan pengorbanan sempena bulan Ramadhan.
6. Melenyapkan adat tradisi yang memberat dan membebankan. Contohnya  berbelanja lebih untuk menyambut bulan Ramadhan. Membeli makanan yang  sedap-sedap dan tidak pernah dimakan sehingga sanggup membazir kerana  tidak dapat menolak nafsu makan.
Seorang ulamak Salaf menjual jariahnya (hamba perempuan) kepada seorang  saudagar hartawan. Ketika hampir menjelang Ramadhan, si jariyah melihat  tuannya yang kaya raya itu membeli makanan yang sedap-sedap. "Untuk apa  tuan menyediakan makanan ini, sebelum ini tidak pernah tuan  mengumpulkannya?" tanya jariah kehairanan. "Untuk bulan Ramadhan yang  tidak lama lagi akan tiba," jawab saudagar itu. "Adakah tuan tidak  pernah berpuasa selain dari bulan Ramadhan dan tuan hanya mengerjakan  puasa Ramadhan untuk bersedap-sedap dan membanyakkan jenis makanan  sahaja. Kalau begitu saya tidak dapat bersama tuan, sudilah kiranya tuan  menjual saya kembali kepada tuan saya yang dahulu." kata jariah dengan  tegas.
7. Mengucapkan tahniah atas kedatangan Ramadhan dengan mengadakan  kenduri kesyukuran atau mengadakan sedikit jamuan dan membuat majlis  tahlil.
Cara Rasululllah menyambut kedatangan Ramadhan 
Nabi SAW menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan beberapa cara:
1. Dengan banyak berpuasa sebelum Ramadhan. Mengerjakan puasa sunat  bulan Rejab dan Sya'ban, puasa sunat Isnin dan Khamis atau puasa sunat  lainnya. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Aisyah:
"Adalah Rasulullah SAW kadang-kadang terus-menerus berpuasa, hingga kami  mengatakan, bahawa beliau tidak berbuka-buka, dan kadang-kadang  terus-menerus berbuka, hingga kami mengatakan bahawa beliau tidak pernah  berpuasa sunat. Namun demikian saya tidak pernah melihat Rasulullah  menyempurnakan puasa sebulan penuh selain bulan Ramadhan; dan saya tidak  pernah melihat beliau banyak berpuasa sebagaimana puasa di bulan Sya  'ban "
2. Rasulullah SAW pada hari akhir dari bulan Sya'ban berceramah  (berkhutbah) di hadapan para Sahabat untuk menerangkan keutamaan dan  keistimewaan bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari  Salman r.a., ertinya:
Rasulullah SAW pada hari terakhir dari bulan Sya'ban berkhutbah di  hadapan kami, maka beliau bersabda: "Wahai manusia, sesungguhnya kamu  akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan,  iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu  bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasa-Nya suatu fardhu dan  qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barangsiapa mendekatkan dirinya  kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia  dengan orang yang menunaikan suatu fardhu di bulan yang lain. Dan  barangsiapa menunaikan suatu fardhu di dalam bulan Ramadhan, samalah dia  dengan orang yang mengerjakan 70 fardhu di bulan yang lain. Ramadhan  itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu pahalanya adalah Syurga.  Ramadhan itu adalah bulan membelikan pertolongan dan bulan Allah  menambah rezeki para mukmin di dalamnya. Barangsiapa memberi makanan  berbuka di dalamnya kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian  itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari  Neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala  seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa sedikitpun  berkurang." Para Sahabat berkata: "Ya Rasulullah, tidaklah kami semua  memiliki makanan berbuka puasa itu untuk orangyang berpuasa!" Maka  bersabda Rasulullah SAW: "Allah memberikan pahala ini kepada orang yang  memberikan sebutir kurma atau seteguk air atau sehirup susu. Dialah  bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya  merdeka dari Neraka. Barangsiapa meringankan beban dari hamba sahaya  (pembantu-pembantu rumah), nescaya Allah mengampuni dosanya dan  memerdekakannya dari Neraka. Kerana itu banyakkanlah yang empat perkara  di dalam bulan Ramadhan. Dua perkara untuk kamu menyenangkan Tuhanmu dan  dua perkara lagi untuk kamu sangat menghajatinya. Dua perkara yang kamu  lakukan untuk menyenangkan Allah, ialah mengakui dengan sesungguhnya,  bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohon ampun kepada-Nya.  Dua perkara lagi yang kamu sangat menghendakinya; orang yang berpuasa,  nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolamku dengan suatu  minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga ia masuk  dalam Syurga. "
Melalui hadis ini kita boleh mengambil banyak pengajaran danperingatan.  Kita boleh mengadakan majlis pertemuan menyambut Ramadhan dengan  menghuraikan Hadis tersebut.
3. Mengucapkan tahniah atas kedatangan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang  diberkati, Allah memerintahmu berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan  dibuka segala pintu Syurga, dikunci segala pintu Neraka dan dibelenggu  segala syaitan. Dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari 1000  bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu,  berertilah telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan. " (Riwayat:  Ahmad, An-Nasa'i dan Al-Baihaqi)
Menghidupkan Ramadhan 
Menghidupkan Ramadhan ialah memuliakan bulan Ramadhan dengan amalan yang  bermanfaat. Menghayati puasa, berpuasa dengan penuh keimanan dan  keikhlasan. Sabda Rasulullah SAW yang ertinya:
"Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu. "
Melaksanakan puasa dengan ertikata yang sebenar, bukan sahaja menahan  diri dari lapar dan dahaga tetapi menahan diri daripada maksiat dan  dosa, menahan hati dari sifat keji dan menahan diri dari menuruti hawa  nafsu. Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW, bersabda yang ertinya:
"Puasa itu benteng, maka janganlah berkata keji dan janganlah bertekak  seperti orang bodoh. Jika seseorang menentang atau memakimu maka  hendaklah ia berkata; "Sesungguhnya saya sedang berpuasa, " dua kali.  Demi zat yang diriku di tangan-Nya, bau busuknya mulut orang yang  berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Firman  Allah: "Ia meninggalkan makanan, minuman dan syahwatnya kerana Aku.  Puasa itu untuk-Ku dan Aku membalasnya. Setiap kebaikan akan dibalas  sepuluh kali ganda."(Riwayat: Bukhari)
Seterusnya memprogramkan diri dengan amal ibadah seperti sembahyang  sunat tarawih, membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah dan qiamulail.  Beribadah dan beramal di bulan Ramadhan akan mendapat ganjaran pahala  berlipatganda. Sabda Rasulullah SAW yang ertinya:
"Barangsiapa mendatangi majlis ilmu di bulan Ramadhan, maka Allah  mencatat tiap-tiap langkahnya sebagai ibadah setahun dan dia akan  bersama ku di bawah panji-panji Arasy; barangsiapa mengekalkan solat  berjemaah di bulan Ramadhan, maka tiap-tiap rakaatnya akan diberi satu  kota yang penuh dengan nikmat Allah; barangsiapa yang berbuat baik  kepada kedua orang tuanya di bulan Ramadhan, maka akan memperoleh  perhatian Allah dengan kasih sayang, sedang aku menjaminnya di dalam  Syurga; dan seorang perempuan yang mencari keredaan suaminya di bulan  Ramadhan maka baginya pahala sebagaimana pahala Siti Maryam dan Siti  Asiah; dan barangsiapa yang menolong keperluan saudara muslimnya di  bulan Ramadhan, maka Allah akan menolong seribu keperluannya di Hari  Qiamat. " (Dari A nas bin Malik)
17:41
 | 
Labels:
Artikel Pilihan
 | 
 
 
Rakan Dakwah
Mengenai Blog Ini
Blog ini adalah merupakan halaman rasmi bagi Badan kerohanian dan Sahsiah SMAP Labu. Ia memaparkan mengenai struktur pentadbiran BSK SMAPL dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun. Ia juga memuatkan pautan ke halaman milik ahli-ahli BSK SMAPL disamping memaparkan artikel-artikel mengenai Islam dan lain-lain.
0 comments:
Post a Comment