Mari menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak

Ramadhan adalah bulan ibadah, bulan yang mulia dan lebih utama daripada bulan yang lain. Lantaran itu bulan Ramadhan perlu diutamakan, disambut dengan persediaan dan dihayati.

Menyambut Ramadhan

Apabila bulan Ramadhan menjelang tiba, mukmin sejali berkemas-kemas dan bersiap-siap menanti kedatangannya. Mereka menyambut dengan penuh kesukaan, penuh keriangan; penuh kegembiraan dan penuh harapan. Seseorang yang bercita-cita menjadi mukmin sejati juga perlu mencontohi sifat itu.

Memang selayaknya seseorang itu berasa gembira dengan kedatangan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan berkat yang membawa rahmat. Setiap amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan berlipat ganda ganjarannya. Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan latihan menjinakkan nafsu yang liar dan mendidik jiwa.

Persiapan yang praktikal menyambut kedatangan Ramadhan ialah:

1. Mengulang-ulang kembali pelajaran yang berkenaan dengan puasa, agar kita memasuki dan menjalani bulan Ramadhan itu dengan pengetahuan yang mantap.
Pelajaran itu seharusnya memberi pengetahuan tentang rukun, syarat, adab, faedah, rahsia dan hikmah-hikmah yang terkandung dalam puasa, qiamullail, tarawih, membaca Al-Quran dan sebagainya.

2. Memperlihatkan kepada sesama kita kesenangan perasaan hati, kegembiraan dan keghairahan menghadapi bulan puasa sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat pernah lakukan.

3. Membanyakkan doa, moga-moga Allah memberikan tenaga kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa. Berharap agar Allah memimpin kita supaya dapat menunaikan puasa itu dengan hati yang jujur dan ikhlas.

4. Menguatkan semangat dan himmah untuk menjalankan latihan dengan sempurna. Bulan Ramadhan ialah bulan ujian dan latihan memerangi hawa nafsu makan, syahwat, tamak dan haloba. Jika nafsu berjaya ditundukkan, mudahlah untuk terus mendekatkan diri kepada Allah dengan membanyakkan ibadah. Seterusnya mensucikan diri dari dosa-dosa serta menghiasi diri dengan pekerti yang mulia.

5. Menyediakan diri untuk menjaga dan memelihara amalan yang akan dilakukan di bulan Ramadhan. Persediaan yang boleh dibuat ialah menyediakan jiwa dan kemahuan yang sungguh-sungguh untuk merebut keistimewaan bulan Ramadhan. Bersedia jiwa untuk meningkatkan amal ibadah dan pengorbanan sempena bulan Ramadhan.

6. Melenyapkan adat tradisi yang memberat dan membebankan. Contohnya berbelanja lebih untuk menyambut bulan Ramadhan. Membeli makanan yang sedap-sedap dan tidak pernah dimakan sehingga sanggup membazir kerana tidak dapat menolak nafsu makan.

Seorang ulamak Salaf menjual jariahnya (hamba perempuan) kepada seorang saudagar hartawan. Ketika hampir menjelang Ramadhan, si jariyah melihat tuannya yang kaya raya itu membeli makanan yang sedap-sedap. "Untuk apa tuan menyediakan makanan ini, sebelum ini tidak pernah tuan mengumpulkannya?" tanya jariah kehairanan. "Untuk bulan Ramadhan yang tidak lama lagi akan tiba," jawab saudagar itu. "Adakah tuan tidak pernah berpuasa selain dari bulan Ramadhan dan tuan hanya mengerjakan puasa Ramadhan untuk bersedap-sedap dan membanyakkan jenis makanan sahaja. Kalau begitu saya tidak dapat bersama tuan, sudilah kiranya tuan menjual saya kembali kepada tuan saya yang dahulu." kata jariah dengan tegas.

7. Mengucapkan tahniah atas kedatangan Ramadhan dengan mengadakan kenduri kesyukuran atau mengadakan sedikit jamuan dan membuat majlis tahlil.

Cara Rasululllah menyambut kedatangan Ramadhan

Nabi SAW menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan beberapa cara:

1. Dengan banyak berpuasa sebelum Ramadhan. Mengerjakan puasa sunat bulan Rejab dan Sya'ban, puasa sunat Isnin dan Khamis atau puasa sunat lainnya. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Aisyah:

"Adalah Rasulullah SAW kadang-kadang terus-menerus berpuasa, hingga kami mengatakan, bahawa beliau tidak berbuka-buka, dan kadang-kadang terus-menerus berbuka, hingga kami mengatakan bahawa beliau tidak pernah berpuasa sunat. Namun demikian saya tidak pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa sebulan penuh selain bulan Ramadhan; dan saya tidak pernah melihat beliau banyak berpuasa sebagaimana puasa di bulan Sya 'ban "

2. Rasulullah SAW pada hari akhir dari bulan Sya'ban berceramah (berkhutbah) di hadapan para Sahabat untuk menerangkan keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Salman r.a., ertinya:

Rasulullah SAW pada hari terakhir dari bulan Sya'ban berkhutbah di hadapan kami, maka beliau bersabda: "Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasa-Nya suatu fardhu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardhu di bulan yang lain. Dan barangsiapa menunaikan suatu fardhu di dalam bulan Ramadhan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardhu di bulan yang lain. Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu pahalanya adalah Syurga. Ramadhan itu adalah bulan membelikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin di dalamnya. Barangsiapa memberi makanan berbuka di dalamnya kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari Neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa sedikitpun berkurang." Para Sahabat berkata: "Ya Rasulullah, tidaklah kami semua memiliki makanan berbuka puasa itu untuk orangyang berpuasa!" Maka bersabda Rasulullah SAW: "Allah memberikan pahala ini kepada orang yang memberikan sebutir kurma atau seteguk air atau sehirup susu. Dialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya merdeka dari Neraka. Barangsiapa meringankan beban dari hamba sahaya (pembantu-pembantu rumah), nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari Neraka. Kerana itu banyakkanlah yang empat perkara di dalam bulan Ramadhan. Dua perkara untuk kamu menyenangkan Tuhanmu dan dua perkara lagi untuk kamu sangat menghajatinya. Dua perkara yang kamu lakukan untuk menyenangkan Allah, ialah mengakui dengan sesungguhnya, bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohon ampun kepada-Nya. Dua perkara lagi yang kamu sangat menghendakinya; orang yang berpuasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga ia masuk dalam Syurga. "

Melalui hadis ini kita boleh mengambil banyak pengajaran danperingatan. Kita boleh mengadakan majlis pertemuan menyambut Ramadhan dengan menghuraikan Hadis tersebut.

3. Mengucapkan tahniah atas kedatangan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, Allah memerintahmu berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu Syurga, dikunci segala pintu Neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu, berertilah telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan. " (Riwayat: Ahmad, An-Nasa'i dan Al-Baihaqi)

Menghidupkan Ramadhan 

Menghidupkan Ramadhan ialah memuliakan bulan Ramadhan dengan amalan yang bermanfaat. Menghayati puasa, berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Sabda Rasulullah SAW yang ertinya:

"Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu. "

Melaksanakan puasa dengan ertikata yang sebenar, bukan sahaja menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi menahan diri daripada maksiat dan dosa, menahan hati dari sifat keji dan menahan diri dari menuruti hawa nafsu. Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW, bersabda yang ertinya:

"Puasa itu benteng, maka janganlah berkata keji dan janganlah bertekak seperti orang bodoh. Jika seseorang menentang atau memakimu maka hendaklah ia berkata; "Sesungguhnya saya sedang berpuasa, " dua kali. Demi zat yang diriku di tangan-Nya, bau busuknya mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Firman Allah: "Ia meninggalkan makanan, minuman dan syahwatnya kerana Aku. Puasa itu untuk-Ku dan Aku membalasnya. Setiap kebaikan akan dibalas sepuluh kali ganda."(Riwayat: Bukhari)

Seterusnya memprogramkan diri dengan amal ibadah seperti sembahyang sunat tarawih, membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah dan qiamulail. Beribadah dan beramal di bulan Ramadhan akan mendapat ganjaran pahala berlipatganda. Sabda Rasulullah SAW yang ertinya:

"Barangsiapa mendatangi majlis ilmu di bulan Ramadhan, maka Allah mencatat tiap-tiap langkahnya sebagai ibadah setahun dan dia akan bersama ku di bawah panji-panji Arasy; barangsiapa mengekalkan solat berjemaah di bulan Ramadhan, maka tiap-tiap rakaatnya akan diberi satu kota yang penuh dengan nikmat Allah; barangsiapa yang berbuat baik kepada kedua orang tuanya di bulan Ramadhan, maka akan memperoleh perhatian Allah dengan kasih sayang, sedang aku menjaminnya di dalam Syurga; dan seorang perempuan yang mencari keredaan suaminya di bulan Ramadhan maka baginya pahala sebagaimana pahala Siti Maryam dan Siti Asiah; dan barangsiapa yang menolong keperluan saudara muslimnya di bulan Ramadhan, maka Allah akan menolong seribu keperluannya di Hari Qiamat. " (Dari A nas bin Malik)

0 comments:

Post a Comment

Mengenai Blog Ini

Selamat Datang!

Blog ini adalah merupakan halaman rasmi bagi Badan kerohanian dan Sahsiah SMAP Labu. Ia memaparkan mengenai struktur pentadbiran BSK SMAPL dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun. Ia juga memuatkan pautan ke halaman milik ahli-ahli BSK SMAPL disamping memaparkan artikel-artikel mengenai Islam dan lain-lain.

Melanggan Blog Ini

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Laman Rasmi Badan Kerohanian dan Sahsiah SMAP Labu

↑ Grab this Headline Animator

Pengikut Blog Ini

Laman Idea

Lokasi Pelawat

Bilangan Pelawat