Risalah I'tikaf
Takrif
I’tikaf (الإعتكاف) dari segi Syara’ membawa maksud المكث في المسجد[1]iaitulah menetap di masjid, [2]على سبيل القربة untuk beribadah kepada Allah, من شخص مخصوص بصفة مخصوص[3] dari seseorang tertentu dengan sifat yang tertentu.
Dalil pensyariatan
1. Berdasarkan firman Allah s.w.t.: yang bermaksudnya: “… dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid…” (al-Baqarah: 187)
2. Berdasarkan hadith daripada ‘A-isyah r.’anha yang berkata:
كان صلى الله عليه وسلم يعتكف العشر الأواخر من رمضان حتى توفاه الله عز وجل ثم اعتكف أزواجه من بعده
Maksudnya: “Dahulunya baginda s.a.w. akan beri’tikaf pada sepuluh hari yang akhir dalam bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat, kemudian para isteri baginda beri’tikaf selepas kewafatan baginda.”[1]
Hukum
1. Hukum I’tikaf adalah sunat, melainkan bagi orang yang bernazar.[2] Ini berdasarkan hadith Nabi s.a.w.:
من نذر أن يطيع الله فليطعه
Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatiNya (dengan melakukan ketaatan tersebut).”[3]
Ibn ‘Umar r.’anhuma pula berkata:
يا رسول الله إني نذرت أن أعتكف ليلة في المسجد الحرام فقال النبي صلى الله عليه وسلم: أوف بنذرك
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah bernazar untuk beri’tikaf di masjid al-Haram. Maka sabda Nabi s.a.w.: Tunaikan nazar mu itu.”[4]
2. Hukum ini sama antara lelaki dan wanita. Ini berdasarkan perkataan Sayyidah Sofiah r.’anha:
كان النبي صلى الله عليه وسلم معتكفا في المسجد في العشر الأواخر من رمضان فأتيته أزوره ليلا وعنده أزواجه
Maksudnya: “Dahulunya Nabi s.a.w. beri’tikaf di dalam masjid ketika sepuluh hari yang akhir dalam bulan Ramadhan, maka saya datang menziarahinya pada suatu malam dan bersama dengan bginda beberapa orang isteri baginda.”[5]
Perlu diperhatikan, hukum sunat kepada wanita beri’tikaf hendaklah memenuhi beberapa syarat antaranya:
i. Mendapat keizinan dari bapa atau suami
ii. Selamat dari sebarang fitnah (keburukan)
iii. Selamat dari percampuran antara lelaki dan wanita.
Syarat-syarat ini berdasarkan kaedah:
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح
Maksudnya: “Menolak keburukan didahulukan berbanding mengambil kebaikan.”
Waktu I’tikaf
Boleh beri’tikaf pada sebarang hari dalam setahun. Inilah pandangan Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Ahmad.[6] :
1. I’tikaf dalam bulan Ramadhan terutamanya ketika sepuluh hari yang akhir adalah lebih diutamakan sebagai mencontohi perbuatan Nabi s.a.w. dan bersungguh untuk mendapatkan Malam al-Qadr (Lailatul Qadr).
2. Sunat memulakan I’tikaf selepas menunaikan solat Subuh kerana ‘A-isyah r.’anha ada meriwayatkan tentang baginda s.a.w. dengan katanya:
كان إذا أراد أن يعتكف صلى الفجر ثم دخل معتكفه
Maksudnya: “Adalah Nabi s.a.w. apabila hendak beri’tikaf baginda menunaikan solat Subuh seteleh itu baginda akan memasuki tempat I’tikaf baginda.”[7]
Al-Qadhi Abu Ya’la berpendapat baginda melakukan perbutan tersebut pada hari ke-duapuluh. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pula berkata yang bermaksud: “Majoriti ulama berpendapat permulaan I’tikaf (bagi yang hendak beri’tikaf sepuluh hari penuh ialah) pada malam duapuluh satu bukan pada fajar hari duapuluh satu, sekalipun sebahagian ulama berpandangan permulaan I’tikaf pada fajar (selepas Subuh) hari duapuluh satu berdasarkan hadith ‘A-isyah oleh al-Bukhari (seperti hadith di atas). Akan tetapi majoriti ulama menjawab dengan mengatakan Rasulullah s.a.w. menyendiri dari orang ramai (memasuki tempat I’tikaf) selepas Subuh. Adapun memulakan niat I’tikaf (dengan memasuki masjid) baginda lakukan pada permulaan malam, kerana malam sepuluh yang akhir bermula dari tenggelamnya matahari pada hari keduapuluh.”[8]
Al-Imam al-Nawawi berkata di dalam al-Majmu’[9]yang bermaksud: “Berkata al-Syafie dan al-Ashab: Sesiapa yang hendak mencontohi Nabi s.a.w. beri’tikaf pada sepuluh hari akhir bulan Ramadhan. Hendaklah dia memasuki masjid sebelum tenggelamnya matahari pada malam duapuluh satu, agar dia tidak terluput sesuatu, dan dia keluar selepas tenggelamnya matahari malam hari raya, samaada bulan Rmadhan sempurna (30 hari) atau kurang. Dan yang Afdhal dia terus berada di masjid pada malam hari raya sehingga dia solat hari raya. Atau dia keluar dari masjid ketika dia keluar menuju ke Musolla (tempat solat hari raya di padang), jika solat hari raya di lakukan di Musolla.”
Tempoh Paling Kurang Melakukan I’tikaf
1. Seketika. Inilah pandangan majoriti ulama termasuk Mazhab Hanafi, Syafie dan Ahmad. Majoriti ulama berhujah dengan beberapa dalil antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Ya’la bin Umaiyah r.a. yang berkata:
إني لأمكث في المسجد الساعة ، وما أمكث إلا لأعتكف
Maksudnya: “Sesungguhnya aku akan tinggal di dalam masjid seketika, aku tidak tinggal di dalamnya melainkan untuk beri’tikaf.”
Ibn Hazm berhujjah dengan hadith ini dan hadith ini juga disebut oleh al-Hafidz Ibn Hajar di dalam al-Fath dan beliau tidak memberi sebarang ulasan tentangnya.[10]
2. Sehari, berdasarkan satu riwayat Abu Hanifah dan sebahagian pandangan ulama Mazhab Malik.
Tempat I’tikaf
1. Tidak sah I’tikaf melainkan di masjid berdasarkan firman Allah s.w.t. yang maksudnya: “…dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid…” (al-Baqarah: 187)
Kata al-Hafidz Ibn Hajar tentang ayat ini: “Sekiranya boleh (beri’tikaf) selain dari masjid, Allah tidak akan mengkhususkan larangan bersetubuh dengannya. Ini kerana jima’ menafikan I’tikaf dengan kesepakatan ulama. Maka diketahui dari sebutan masjid (dalam ayat di atas) membawa maksud tidak dilakukan melainkan di dalam masjid…”
I’tikaf tidak terhad kepada tiga buah masjid sahaja (Masjid al-Haram, Nabawi dan al-Aqsa) berdasarkan pandangan majoriti ulama. Bahkan boleh dilakukan dimana-mana masjid. Al-Imam al-Bukhari ada mengisyaratkan perkara ini dari bab yang diletakkannya di dalam kitab Sahih beliau iaitulah: “Bab I’tikaf Pada Sepuluh Yang Akhir dan I’tikaf di Semua Masjid berdasarkan firman Allah: “…dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid…”
Al-Syeikh Muhammad bin Solah al-‘Uthaimin pula berkata: “…Firman Allah: “…dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid…” lafaz masjid di dalam ayat ini adalah umum kepada semua masjid di seluruh alam. Ayat ini pula datang pada akhir ayat puasa yang merangkumi hukumnya kepada semua umat di seluruh alam, ia berupa bicara kepada sesiapa yang ditujukan puasa… maka jauh sekali (dari memungkinkan) untuk Allah mengajukan bicara kepada umat (semuanya) dengan bicara yang tidak merangumi (semua mereka) melainkan jumlah yang paling sedikit dari kalangan mereka… adapun hadith dari Huzaifah bin al-Yaman r.a. yang menyebut: “Tidak ada I’tikaf melainkan di tiga buah masjid” ia membawa maksud tidak ada I’tikaf yang paling baik dan sempurna, hadith ini tidak menafikan sah I’tikaf di selain tiga masjid tersebut.”[11]
Beberapa Petunjuk Nabi Ketika Beri’tikaf
1. Baginda tidak keluar dari masjid melainkan kerana hajat yang perlu dilakukan oleh seseorang insan. Seperti buang air dan seumpamanya.[12]
2. Baginda sentiasa menjaga kebersihan diri ketika berada di dalam masjid. Termasuk dibenarkan kepada orang yang beri’tikaf mandi, mengenakan wangian, mencukur, berhias kemas, menyikat rambut. Majoriti Ulama mengatakan tidak dimakruhkan apapun melainkan perkara yang dimakruhkan di dalam masjid.[13]
3. Baginda tidak menziarahi orang sakit dan jenazah ketika beri’tikaf, demikian juga tidak bersama dengan isteri dan baginda tidak akan keluar dari masjid melainkan jika ada keperluan mendesak sahaja.[14]
4. Kadang-kadang isteri baginda akan datang ke masjid menziarahi baginda, mereka berbicara. Apabila isteri baginda hendak pulang, baginda akan bangun dan menghantar ke pintu masjid.[15]
Wassalam.
[1] H.R. al-Bukhari dan Muslim daripada ‘A-isyah r.’anha
[2] Sila lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 5/207
[3] H.R. al-Bukhari daripada ‘A-isyah r.’anha
[10] Al-Syeikh Bakr Abu Zaid di dalam La Jadid fi Ahkam al-Solah menyebut hadith yang tidak diulas oleh al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari adalah hadith yang sahih atau Hasan.
[11] Nukilan dengan sedit ubah-suai yang tidak mengubah maksud. Sila lihat Fatawa al-Siyam, hal: 493
20:29
|
Labels:
Artikel Pilihan
|
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Rakan Dakwah
Mengenai Blog Ini
Selamat Datang!
Blog ini adalah merupakan halaman rasmi bagi Badan kerohanian dan Sahsiah SMAP Labu. Ia memaparkan mengenai struktur pentadbiran BSK SMAPL dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun. Ia juga memuatkan pautan ke halaman milik ahli-ahli BSK SMAPL disamping memaparkan artikel-artikel mengenai Islam dan lain-lain.
Blog ini adalah merupakan halaman rasmi bagi Badan kerohanian dan Sahsiah SMAP Labu. Ia memaparkan mengenai struktur pentadbiran BSK SMAPL dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun. Ia juga memuatkan pautan ke halaman milik ahli-ahli BSK SMAPL disamping memaparkan artikel-artikel mengenai Islam dan lain-lain.
0 comments:
Post a Comment