Khurafat Antara Khurafat Antara Dua Dimensi: Konservatif Dan Kontemporari
Khurafat Antara Dua Dimensi: Konservatif Dan Kontemporari
Oleh Profesor Zakaria Stapa
Profesor Tasawuf dan Pemikiran Islam
Dekan Fakulti Pengajian Islam, UKM
Mukadimah
Subjek yang menjadi mauduk tulisan ini, 'khurafat' adalah satu persoalan yang tidak asing dan agak lumrah dibicarakan di tengah masyarakat di negara kita.
Majalah Al-Islam, sebuah majalah agama bulanan terbitan Utusan Melayu (M) Berhad, keluaran bulan Februari 2002 misalnya memberi fokus khusus kepada persoalan khurafat ini. Di samping itu, dalam ceramah-ceramah tertentu dan dalam seminar-seminar ilmiah, yang sering dianjurkan di seluruh negara, ahli masyarakat kita dari pelbagai lapisan juga kerap didedahkan dengan subjek ini.
Walaupun demikian keadaannya, yakni sekalipun persoalan khurafat ini selalu diketengahkan kepada masyarakat, namun ia kelihatan masih terus juga bertapak di tengah masyarakat dan masih terus menjadi semacam satu masalah yang mengganggu kejernihan dan kestabilan beragama sebahagian ahli masyarakat di negara kita.
Oleh kerana itulah, penulis berasa terpanggil untuk membincangkan subjek ini secara lebih mendalam bagi membina kefahaman masyarakat terhadap persoalan berat ini, di samping merangka strategi dan mencari pendekatan yang berkesan ke arah pembendungan, kalau pun tidak pembasmian secara total, unsur negatif yang menggugat keharmonian dan kestabilan beragama kalangan ahli masyarakat ini.
Sesungguhnya khurafat, dalam keadaan-keadaan tertentu, dikenalpasti sebagai satu faktor yang terutamanya boleh menyumbang ke arah penggugatan keteguhan pegangan aqidah ummah.
Dengan itu, hal ini tentunya merupakan satu aspek yang cukup bahaya kepada penerusan kemurnian kehidupan beragama kalangan ummah. Ini kerana aqidah merupakan perkara yang amat asas dalam penghayatan agama seseorang Muslim. Dalam pandangan Islam semua perkara yang berkaitan dengan aqidah dalam kehidupan seseorang Muslim mestilah sentiasa berada dalam keadaan yang jelas, pasti dan selesai; ia tidak boleh sekali-kali dibiarkan berada dalam keadaan ragu dan tidak menentu.
Ketidaktentuan, keraguan dan kecelaruan pegangan aqidah boleh mencacatkan nilai segala amal perbuatan yang dilakukan oleh seseorang Muslim, dan seterusnya boleh pula membahayakan nasib masa depannya dalam kehidupan akhirat. Hal ini terungkap jelas dalam firman-firman Allah yang bermaksud:
"... Dan sesiapa yang ingkar [akan syariat Islam] sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya [yang baik] dan adalah dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi" (Al-Ma’idah, 5:5)
"... dan sesiapa di antara kamu yang murtad [berpaling tadah] dari agamanya [agama Islam], lain dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya [yang baik] di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya [selama-lamanya]" (Al-Baqarah 2:217)
Di samping itu, adalah juga dikenal pasti bahawa unsur khurafat dikatakan boleh menyumbang ke arah pembantutan pacuan kemajuan dan kecemerlangan ummah dalam kehidupan harian di dunia ini.
Hal seumpama ini dikatakan boleh terjadi menerusi halangan-halangan atau sekatan-sekatan psikologi yang dipaksakan ke atas kalangan orang yang meyakini sesuatu unsur khurafat, sehingga mereka boleh berada dalam keadaan ketakutan dan tidak bebas untuk melaksanakan tuntutan sesuatu tugas dengan sempurna.
Maka itu, tergambar jelas bahawa persoalan khurafat ini adalah satu perkara yang amat penting dan serius. Kelihatannya ia perlu difahami dengan baik dan tepat, untuk membolehkan ia ditangani secara bijaksana dan segera, agar ummah tidak perlu terus terjebak atau terperangkap dalam bahaya yang dibawanya, sama ada yang membabitkan persoalan hidup mereka di dunia ini, atau yang lebih utama lagi, yang membabitkan persoalan kehidupan mereka di akhirat kelak.
Jadi, pembicaraan dan analisis yang akan dibuat sepanjang tulisan ini, secara asasinya, adalah tertumpu kepada perihal yang berlangsung di kalangan umat Islam di negara kita sejauh yang berkaitan dengan persoalan khuraf
Khurafat: Definisi dan Skop
Sebelum dilanjutkan pembicaraan, adalah amat penting di peringkat ini difahami dengan tepat konotasi makna yang terkandung dalam istilah khurafat tersebut. Maka itu, kalau dilihat dari segi etimologi, adalah ternyata bahawa perkataan khurafat ini berasal dari bahasa Arab: kharafa-yakhrifu-kharfan-khurafatan—di mana padanan bahasa Inggerisnya merujuk kepada superstition atau supertitio dalam bahasa Latinnya yang membawa maksud sesuatu yang dipetik, atau cerita bohong, dongeng dan tahayul, atau sesuatu hal yang tidak masuk akal, atau sesuatu yang dusta tetapi menarik (Ensiklopedia Hukum Islam 1997; Ensiklopedia Islam 1994; dan al-Mu'jam al-Falsafi 1983).
Di samping itu, terdapat pula catatan yang menjelaskan bahawa khurafat atau khurafah itu sebenarnya merujuk kepada nama seorang lelaki Arab dari Bani 'Udhrah yang hidup pada zaman jahiliah. Lelaki berkenaan dikatakan telah dicekup oleh makhluk jin untuk hidup bersama mereka untuk satu tempoh tertentu. Apabila lelaki tersebut kembali semula kepada kaumnya, beliau bercerita tentang pelbagai peristiwa dan kejadian yang aneh dan menakjubkan yang pernah beliau saksi dan alami semasa berada bersama dalam kelompok jin tersebut. Namun, cerita-cerita berkenaan dianggap dusta dan tidak dipercayai oleh kalangan orang yang mendengarnya, lantas mereka mengungkapkan cerita-cerita tersebut sebagai "cerita khurafat". Dan bertitik tolak daripada peristiwa tersebutlah, maka ungkapan khurafat tersebut digunapakai untuk merujuk kepada setiap cerita ataupun percakapan dusta, atau juga setiap perkara yang menarik dan menakjubkan (Saliba 1981: "al-khurafah"; dan Ensiklopedia Hukum Islam 1997).
Dengan itu jelas bahawa sejauh yang berkaitan dengan pengertian literal kepada perkataan khurafat tersebut, maka ia adalah merujuk sekitar sesuatu cerita atau perkara yang dusta dan tidak masuk akal.
Namun, rujukan teknikal kepada istilah ini adalah tertumpu kepada sejumlah pengertian berikut (al-Mu'jam al-Falsafi 1983; Ensiklopedia Hukum Islam 1997; Saliba 1971: ^-khurafah"; Ensiklopedia Islam 1994; dan Hj Che Yusoff 1999:11):
1.Pegangan atau iktikad yang tidak bersandarkan kepada asas realiti dan tidak juga berdasarkan asas agama, seumpama ungkapan atau perbuatan atau juga bilangan tertentu yang disangkakan boleh mendatangkan kebahagiaan ataupun kecelakaan.
2.Semua kepercayaan, keyakinan atau kegiatan yang tidak memiliki dasar dan atau bersumber dari ajaran agama, tetapi diyakini bahawa hal tersebut berasal dan memiliki dasar dari agama.
3.Dongeng, kisah, legenda, cerita, asumsi, dugaan, kepercayaan, keyakinan atau aqidah yang tidak benar. la adalah iktikad yang batil, di mana lawannya ialah iktikad yang benar (al-haq).
4.Keyakinan atau iktikad bahawa sesetengah perbuatan, lafaz perkataan, bilangan tertentu, atau konsep tertentu boleh mendatangkan kebahagiaan ataupun kecelakaan.
5.Setiap pengajaran atau keyakinan yang dapat dipastikan ketidakbenarannya atau yang jelas bertentangan dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
6.Semua perkara yang dicipta oleh manusia melalui pemikiran karutnya tanpa asas syariah atau akal sihat; kemudian diyakini pula sebagai boleh mendatangkan manfaat ataupun menolak bala.
Berdasarkan pelbagai definisi teknikal yang tercatat di atas, ciri dan skop istilah khurafat tersebut kelihatannya sudah boleh dikenal pasti, di mana ciri-cirinya boleh disimpulkan sebagai merangkumi aspek-aspek berikut:
1.Adanya unsur kepercayaan dan iktikad yang diyakini.
2.la secara jelasnya bukan datang daripada sumber ajaran agama Islam, serta bertentangan pula dengan logik akal dan realiti, dan kerana itu ia merupakan sesuatu yang batil yang langsung tidak mengandungi unsur kebenaran.
3.Ia diyakini sebagai boleh mendatangkan sama ada kebahagiaan/ manfaat atau kecelakaan/bala.
Adapun bentuknya pula, maka ia boleh muncul dalam bentuk-bentuk yang berbagai-bagai sama ada dalam bentuk:
1.Perbuatan tertentu
2.Ungkapan tertentu
3.Cerita atau kisah tertentu
4.Bilangan tertentu
5.Konsep, prinsip atau mazhab tertentu.
Dengan itu, dalam kata lainnya bolehlah dirumuskan bahawa istilah khurafat tersebut dari segi perspektif penggunaan teknikalnya adalah merujuk kepada sama ada suatu perbuatan, ungkapan kata, cerita atau kisah, bilangan tertentu sesuatu perkara, konsep, prinsip atau mazhab yang dipercayai dan diiktikadkan dengan yakin sebagai boleh mendatangkan kebahagiaan/manfaat ataupun penderitaan/mudarat kepada seseorang, sedangkan semuanya itu merupakan sesuatu yang tidak sekali-kali terdapat dalam sumber dan suruhan agama Islam yang maha suci, serta pada waktu yang sama bertentangan pula dengan logik akal yang sihat dan tidak juga bersandarkan realiti, kerana itu ia merupakan sesuatu yang batil, yang langsung tidak mengandungi sebarang unsur kebenaran.
Demikianlah konotasi makna serta ruang lingkup yang dikandungi oleh istilah khurafat; iaitu secara asasinya sesuatu yang nyatanya bertentangan dengan pegangan dan ajaran agama Islam yang maha suci serta logik akal. Namun, ia kelihatannya masih terus boleh menawan hati golongan orang beragama yang hidup dalam tempoh masa kini — suatu tempoh waktu yang dikatakan segala sesuatu, dalam kehidupan harian, bertunjangkan kepada logik dan kewarasan akal. Maka itu, pada sisi inilah kelihatan menariknya subject-matter yang diteroka dalam tulisan ini.
Khurafat: Dimensi Konservatif
Adalah perlu dicatatkan bahawa perkataan konservatif dalam penggunaan di sini adalah merujuk kepada
kuatnya kecenderungan untuk mengekalkan sesuatu yang telah menjadi kelaziman atau tradisi (Kamus Dewan 1991). Oleh itu dalam konteks pembicaraan perkara-perkara khurafat ini, maka dimensi konservatifnya itu akan terfokus kepada senario pengislaman ummah serta proses ke arah penghayatan agama kalangan Muslim di rantau ini, yang tentunya termasuk di negara kita.
Lembaran sejarah telah mencatatkan bahawa manusia yang menghuni rantau kita ini memulakan kerjaya keagamaan mereka dengan menganut faham dinamisme-animisme.
Faham dinamisme ialah suatu kepercayaan yang menyakini adanya tenaga atau kuasa ghaib yang tidak berperibadi—dalam istilah antropologi disebut mana—dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan serta benda-benda. Tenaga yang tidak berperibadi atau mana itu bererti prestasi luar biasa yang dipunyai pemiliknya. Maka itu, lelaki yang sangat berani, wanita yang lebih baik tenunannya, pokok yang lebih banyak buahnya dipercayai mempunyai mana yang lebih banyak daripada yang lainnya.
Demikian pula, terdapat benda-benda lain yang dipercayai memiliki mana yang tersendiri. Air, besi, batu adalah di antara benda-benda alam yang dipercayai sebagai mengandungi mana, kerana itu benda-benda berkenaan misalnya digunakan dengan pelbagai cara dalam berbagai upacara dan istiadat.
Demikian pula pelbagai benda tertentu dicampur untuk dijadikan azimat yang dipercayai mempunyai kuasa ghaib. Oleh itu, azimat-dalam istilah antropologi disebut amulet-diyakini dapat menahan pemakainya daripada bahaya, malapetaka serta serangan dari kuasa ghaib (Rahmat 1983:8-1 .
Adapun faham animisme yang muncul dalam perkembangan seterusnya pula merupakan kepercayaan akan adanya jiwa dan roh yang dapat mempengaruhi kehidupan alam manusia. Biasanya animisme akan menimbulkan praktis religis, iaitu pemujaan dan perhambaan diri kepada sesuatu kuasa ghaib yang berperibadi, kerana manusia yang berfaham animisme merasa terikat kepada kuasa ghaib tersebut dalam kerangka mengharapkan perlindungan atau meminta pertolongan bagi mendapatkan sesuatu daripadanya (Rahmat 1983:19-24, 25).
Jenis manusia awal di rantau kita ini adalah kalangan mereka yang menganut faham dinamisme-animisme tersebut. Kemudian, dalam proses perjalanan waktu mereka didatangi oleh pengaruh asing, di mana pengaruh asing yang mula-mula sekali masuk ke rantau kita ini ialah pengaruh India yang membawa bersamanya Hinduisme dan Budhisme.
Kemasukan pengaruh dari India ini menjalar secara aman dan damai. Hal ini terutamanya berpunca dari Hinduisme-Budhisme itu sendiri sebenarnya mempunyai segi-segi atau unsur-unsur dinamisme-animisme yang tersendiri dalam agama tersebut. Oleh itu, kalangan penduduk di rantau kita ini pada waktu itu merasakan kepercayaan Hinduisme-Budhisme yang baru dibawa masuk tersebut serasi dan sekali-kali tidak berlawanan dengan kepercayaan yang sudah sedia mereka anuti (Rahmat 1983:5).
Keadaan ini telah menyebabkan kepercayaan berbentuk dinamisme-animisme tidak tergugat dan terus berkembang dalam kehidupan keagamaan masyarakat di rantau ini.
Perkembangan selanjutnya dalam kehidupan keagamaan manusia di rantau ini ialah menyaksikan kedatangan agama Islam. Sekali lagi agama baru ini datang menyebarkan pengaruhnya secara aman. Perkembangan Islam di rantau ini pada ketika tersebut berjalan dengan cepat sekali, sesuai dengan watak asli golongan massa di daerah ini yang penuh dengan sifat toleransi. Dalam tempoh yang relatif singkat agama baru ini telah menjadi anutan massa. Malahan, dalam tempoh yang singkat pula kalangan para raja juga telah berjaya diislamkan (Rahmat 1983:6).
Dalam konteks penyebaran Islam di rantau ini, adalah perlu diberikan perhatian akan aspek perkembangannya yang tidak menumpahkan darah. Sekalipun agama Islam merupakan agama yang cukup ketat dan cukup tegas unsur tauhidnya sehingga ia tidak dapat menerima sebarang bentuk syirik, namun cara dan pendekatan pendakwahan dalam proses penyebarannya di rantau kita ini adalah berlangsung dalam bentuk yang penuh toleransi.
Kita misalnya boleh memerhatikan bagaimana pendekatan pendakwahan yang dilakukan oleh kumpulan Wali Songo di Jawa (Abd Aziz 1997:33-46). Mereka misalnya mengambil pendekatan tidak mengubah, tetapi menyesuaikan:
Dengan itu, upacara persembahan dan pemujaan yang diwarisi daripada fahaman animisme dan Hindu-Buddha tidak terus dihapuskan tetapi diubahsuai. Maka adat-adat persembahan dan jamuan kepada roh-roh diubah kepada kenduri tahlil yang dimakan bersama. Adat membakar kemenyan dan bacaan mentera kepada roh-roh selepas mati diubah kepada upacara tahlil dan doa dengan nada yang panjang dan sedih. (Abd Aziz 1997:40).
Demikian juga golongan Wali Songo menggunakan seni sebagai pendekatan dakwah mereka. Maka itu didapati permainan wayang kulit (Abd Aziz 1997:37) yang begitu digemari oleh golongan massa dieksploit oleh mereka untuk tujuan dakwah dengan mengubahsuai permainan tersebut di mana-mana perlu agar tidak menampakkan pertentangan dengan kehendak ajaran Islam.
Sekalipun hingga ke peringkat-peringkat tertentunya, pendekatan dakwah sebagai mana di atas sememangnya memberikan kesan yang cukup baik sehingga ramai sekali golongan massa memeluk agama Islam tanpa perlu berlakunya pertumpahan darah, namun pada sisi lain ia kelihatan menjadi penyebab kepada, paling baikpun, munculnya unsur sinkretisme dalam sebahagian amalan masyarakat, atau menjadi sukarnya untuk menghapuskan amalan lazim dalam masyarakat, sekalipun ia terang-terang bertentangan dengan kehendak ajaran Islam.
Hal ini pula ditambah lagi dengan ketidaksempatan masa untuk melakukan tindakan susulan pengukuhan terhadap ajaran Islam disebabkan oleh keperluan tenaga dihadapkan kepada kerja-kerja penentangan terhadap kedatangan pengaruh barat yang datang menjajah rantau kita ini. Dengan itu tepatlah pemerhatian yang dibuat oleh Profesor Norazit Selat (2002:25) yang mengambil contoh penggunaan mantera.
Sebelum bacaan mentera, orang berkenaan—kebiasaannya dipanggil pawang atau bomoh—akan memulakan dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, diikuti dengan puji-pujian ke atas Nabi s.a.w. Tetapi selepas itu mereka akan menyebut macam-macam bahasa yang sukar difahami, kebiasaannya disebut mantera dan kemudiannya diakhiri dengan bacaan ayat al-Quran.
Dan tepat pula pemerhatian yang dibuat oleh Dr. H. O. K. Rahmat SH sebagaimana tercatat dalam sebuah tulisan beliau Pencemaran Akidah di Nusantara (1983: vi):
Sebagaimana dinamisme, animisme juga tidak hilang dengan kedatangan berbagai-bagai agama ke rantau ini. Bahkan sampai sekarang ia masih hidup meskipun majoriti penduduk Nusantara telah menganut agama Islam yang anti syirik dan tidak mengakui suatu kuasa pun selain daripada kuasa Allah.
Sebahagian umat Islam masih lagi mempercayai kuasa-kuasa roh ini, memuja dan mengharapkan pertolongannya. Dalam banyak perkara, supaya tidak ditolak oleh umat Islam, Dinamisme dan Animisme itu (dicampuradukkan) dengan ajaran Islam.
Di samping itu, seperkara lagi yang wajar diberikan perhatian dalam konteks dimensi konservatif unsur khurafat ini ialah hakikat fakta bahawa salah satu ajaran asas dalam Islam itu sendiri adalah juga mewajibkan umatnya supaya percaya kepada perkara-perkara yang ghaib.
Percaya kepada perkara-perkara ghaib atau al-ghaybiyyat merupakan sebahagian daripada Rukun Iman, di mana iman seseorang akan gugur sekiranya dia tidak mempercayai kewujudan perkara-perkara yang ghaib tersebut. Malahan, dalam ajaran Islam, percaya kepada perkara ghaib itu merupakan sifat orang yang bertakwa kepada Allah, sebagaimana terungkap jelas dalam firman Allah yang bermaksud:
"Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya [tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya], ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang [hendak] bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib ..." (al-Baqarah, 2:2-3).
Kalau dipinjam pandangan al-Raghib al-Asfahani untuk memahami siratan makna yang terkandung dalam konsep al-ghayb yang terdapat dalam potongan ayat di atas, maka kita diberitahu— sebagaimana tercatat dalam kitab beliau Mufradat al-Quran—bahawa ia merujuk kepada setiap perkara yang berada di luar upaya pancaindera untuk mencapainya; iaitu setiap sesuatu yang terselindung dan tidak terjangkau oleh pancaindera manusia (Zakaria 1997:54).
Penjelasan-penjelasan di atas mempamerkan betapa status dan kedudukan perkara-perkara yang ghaib adalah cukup jelas dalam Islam. Ia sebenarnya, antara lain, termasuk ke dalam Rukun Iman kedua, iaitu (Zakaria 1997:56):
Makrifah pelbagai alam yang berada di luar alam tabii yang tidak dapat dijangkau oleh pancaindera, iaitu yang terdiri daripada daya kebaikan yang diwakili oleh para malaikat, serta daya kejahatan yang diwakili oleh Iblis dan para bala tenteranya yang terdiri daripada kalangan para syaitan. Juga mengenali dan mengetahui perkara yang terdapat dalam alam berkenaan yang terdiri dari kalangan para jin dan pelbagai roh.
Jadi, dalam konteks ajaran Islam yang sebegini, maka ia sehingga ke tahap tertentunya, boleh menyediakan laluan selesa kepada para pendakwah untuk mendakwahkan golongan penganut fahaman dinamisme-animisme yang juga percaya kepada kewujudan roh ghaib. Namun, pada sisi lain, ia juga boleh membuka ruang kekeliruan dan pengekalan tradisi dan kepercayaan lama sekalipun sudah memeluk Islam.
Maka itu, hal ini perlu ditangani dengan baik dan bijaksana agar ia boleh berfungsi sebagai faktor positif yang membantu kerja pendakwahan, bukan sebaliknya untuk menjadi asas kepada pengekalan keyakinan terhadap tradisi lama yang bertentangan dengan ajaran agama Islam yang maha suci.
Demikianlah senario yang memerihalkan dimensi konservatif dalam konteks penghayatan dan pengamalan keagamaan di rantau ini, termasuk di negara kita. Contoh tipikal dalam hubungan ini adalah gambaran pemerhatian yang dibuat, sekali lagi, oleh Profesor Norazit Selat (2002:2 terhadap fenomena beragama kalangan sebahagian daripada orang Melayu:
Masalah ini timbul kerana agama Islam datang kemudian. Sebelum kedatangan Islam, orang Melayu telah banyak mengumpul nilai-nilai agama lain, ada animisme, Hindu dan sebagainya. Mereka takut hendak meninggalkan yang lama, akibatnya yang lama disimpan, manakala yang baru diambil. Mereka mengambil yang baru, tetapi masih hendak menyimpan yang lama.
Malah sehingga kini, kita dapati orang yang menjalani ajaran Islam dengan baik. Mereka menunaikan semua Rukun Islam dengan baik. Mereka sembahyang, puasa mereka bukan setakat bukan setakat yang wajib pada bulan Ramadan, malah puasa-puasa sunat lain, mereka menunaikan fardu haji lebih daripada satu kali. Tetapi, pada masa yang sama, yang lama tidak ditinggalkan. Jiwa mereka ada membela hantu raya, mereka tidak maha membuangnya. Kalau boleh mereka hendak simpan kedua-duanya sekali.
Khurafat: Dimensi Kontemporari
Sesungguhnya dimensi kontemporari daripada unsur khurafat ini menjadi wujud disebabkan oleh berlakunya pengekalan terhadap sebahagian daripada perkara tradisi yang sudah menjadi kelaziman dalam kehidupan. Dalam kata lain, wujudnya dimensi kontemporari ini adalah disebabkan telah berlakunya dimensi konservatif terhadap sebahagian tradisi lama di kalangan sebahagian umat Islam sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini.
Kita dapat perhatikan wujudnya sebahagian amalan khurafat di kalangan umat Melayu-Muslim dewasa ini. Sebahagian daripada amalan berkenaan akan cuba kita catatkan dalam kesempatan terhad ini bagi dijadikan bahan bukti betapa persoalan khurafat masih terus mencengkam dan memaksakan dominasinya ke atas kehidupan harian
Hal ini juga sekaligus menggambarkan bahawa kerja pendakwahan setakat ini masih belum berjaya membendung gejala negatif ini.
Dalam hubungan ini, secara umumnya dapat kita perhatikan bahawa setelah agama Islam berkembang dan meluas sampai ke daerah-daerah bukan Arab, termasuk tentunya ke rantau kita ini, di mana masyarakatnya telah terlebih dahulu menganut pelbagai kepecayaan dan agama sebelum kedatangan Islam, maka penghayatan Islam ahli masyarakat berkenaan umumnya menghadapi masalah dari segi kemurniannya.
Amalan-amalan keislaman yang dihayati pada keseluruhannya menjadi bercampur-aduk dengan amalan-amalan khurafat dan bidaah yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Amalan memuja jin dan mempraktikkan ilmu sihir sebagai contoh telah menjadi amalan kebiasaan mereka, di samping mengamalkan kewajipan sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain kewajipan fardhu dalam Islam. Campur-aduk seumpama inilah yang menjadikan ajaran Islam yang dihayati dan diamalkan oleh sebahagian umat Islam di seluruh dunia, termasuk di negara kita, menjadi tercemar dan tidak murni (Kilani 1991:230-231).
Merujuk kepada amalan pemujaan jin untuk maksud mendapatkan pertolongan makhluk berkenaan di dalam masyarakat Melayu-Muslim secara khusus, maka kita dapati perkara ini terhubung secara langsung dengan institusi perbomohan yang didapati sehingga kini masih terus popular, malahan kadang-kadang grafnya semakin meninggi hari demi hari. Dewasa ini misalnya praktik perbomohan untuk maksud memberi pertolongan kepada kalangan orang yang menghadapi masalah adalah diiklankan secara terbuka dalam akhbar-akhbar serta majalah-majalah tempatan.
Adalah perlu ditegaskan bahawa satu sikap yang amat terlarang menurut hukum Islam ialah sikap meminta-minta pelbagai jenis hajat daripada makhluk jin. Dalam al-Quran terungkap dengan jelas betapa Allah mencela masyarakat Arab jahiliah kerana sikap mereka yang merendah diri kepada jin dan memohon pertolongan daripada mereka. Dalam konteks ini Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan bahawa sesungguhnya adalah [amat salah perbuatan] beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat. (al Jin. 72:6).
Sesungguhnya dalam keghairahan untuk mendapatkan pertolongan daripada makhluk jin tersebut berlakunya proses pemujaan jin. Dan di sinilah bermulanya keperluan kalangan yang berhajat tersebut mematuhi pelbagai syarat tanpa mengira jin yang dikehendaki pertolongannya itu datang daripada mana-mana golongan jin.
Sekalipun jin tersebut datangnya daripada golongan jin Islam yang salih, tetap juga syarat keperluan yang diminta dilakukan tersebut dilihat sebagai bermasalah dari segi pandangan Islam yang murni. Dan tentulah akan lebih-lebih dilarang apabila jin yang berkaitan datangnya daripada golongan jin yang kafir (Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad t. th.: 20-24).
Selain daripada sikap meminta-minta kepada jin yang jelas salah menurut pandangan Islam, satu lagi sikap yang juga salah ialah sikap terlalu percaya kepada bantuan khadam-khadam makhluk ghaib (Kilani 1991:211-214).
Sebilangan dukun dan bomoh di Malaysia sebagai contoh mendakwa harus menggunakan khadam dan bersahabat dengan pelbagai jenis makhluk ghaib suci. Ini termasuk. menurut mereka. bersahabat dengan malaikat-malaikat tertentu dari jenis malaikat yang mereka namakan sebagai Muakal. Makhluk-makhluk ghaib ini pada anggapan mereka bertugas sebagai rakan-rakan pembantu dalam menjalankan sesuatu kerja, usaha, hajat dan keperluan.
Mereka juga dianggap sebagai pengawal setia yang bertugas melindungi rakan mereka dari jenis makhluk manusia dari terkena perbuatan jahat yang dirancang oleh lawan dan musuh. Bagaimana pun, sebenarnya menurut penjelasan yang terdapat dalam al-Quran. anggapan-anggapan sebagaimana di atas adalah tidak tepat.
Menurut al-Quran, apa yang disangkakan malaikat tersebut sebenarnya adalah makhluk ghaib yang tidak lain daripada jin yang pada keseluruhannya berniat jahat terhadap manusia. Perihal kekeliruan manusia sebagaimana di atas terungkap jelas dalam firman Allah yang bermaksud:
"Dan [ingatlah] masa Allah menghimpunkan mereka semua [pada hari kiamat], kemudian Dia bertanya kepada malaikat: "Adakah orang-orang ini, [kamu setujui] menyembah kamu dahulu?". Malaikat menjawab: "Maha Suci Engkau [dari adanya sebarang sekutu dengan-Mu]! Engkaulah [yang kami hubungi sebagai pemimpin dan] Pelindung kami bukan mereka. [Tidak ada hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai sembahan mereka akan kami], bahkan mereka adalah menyembah jin syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada jin syaitan itu [sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi}"
Di samping itu, kalangan bomoh dan dukun juga yakin bahawa khadam-khadam yang sentiasa berdampingan dengan mereka adalah terdiri daripada makhluk ghaib yang mereka namakan sebagai Malaikat Hafazah dan lain-lain makhluk ghaib suci. Semua anggapan yang disebutkan di sini adalah tidak benar sama sekali.
Pada pandangan para ulama hadith dan fiqh tidak ada langsung makhluk-makhluk ghaib suci dan malaikat yang ditugaskan untuk menjadi khadam dalam ertikata dikuasai dan dimiliki oleh manusia. Adapun makhluk yang boleh dikuasai melalui amalan-amalan tertentu adalah tidak lain daripada makhluk jin dan 'ifrit yang dalam istilah biasa masyarakat Melayu dikenali sebagai hantu.
Demikianlah senario yang terjadi dalam institusi perbomohan yang sebenarnya tidak pernah pudar pengamalan dan penggunaannya dalam masyarakat kita sejak dahulu sampai sekarang. Contoh terkini merebaknya amalan khurafat yang berbentuk syirik dalam institusi perbomohan ini yang terjadi dalam masyarakat kita ialah apa yang termuat dalam ruangan Soal Jawab Agama, kelolaan Dr Amran Kasimin dalam Mingguan Malaysia, di mana beliau terpaksa melayan persoalan yang dibangkitkan oleh pembaca yang mahu mengetahui tentang upacara amalan semah yang berlaku di kampung pembaca berkenaan (Mingguan Malaysia 21 April, 2002:9).
Amalan semah sebagaimana yang dicatatkan oleh Dr. Amran dalam jawapan beliau ialah amalan menyediakan sajian untuk makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin untuk tujuan tertentu. Dalam upacara itu yang melibatkan jin-jin, upacara diadakan supaya jin-jin yang dipanggil, dan dipuja datang membantu sama ada untuk tujuan rawatan, permainan atau hiburan. Dalam masa yang sama dipohon agar jin-jin itu melindungi gelanggang di mana persembahan itu diadakan, menjaga mereka yang terlibat dengan persembahan dan juga mengawal keselamatan para penonton.
Semah juga diadakan untuk mengelakkan berlakunya gangguan yang melibatkan jin-jin yang menghuni tempat berkenaan ataupun dari luar atau daripada gangguan angkara manusia dengan bantuan jin-jin yang diistilahkan sebagai sihir. Lumrahnya ada beberapa tujuan utama semah dilakukan apabila pesakit sembuh setelah diubati.
Menurut kaedah tradisional antaranya ialah sebagai memenuhi perjanjian yang telah dipersetujui oleh orang yang melakukan rawatan dan jin-jin yang dikatakan membantu manusia yang dilakukan dalam keadaan menurun ataupun menerusi persembahan teater tradisional, yang juga melibatkan menurun. Jin yang merasuk pesakit dipujuk dan dijanjikan akan diberi makan (semah) kalau ia sudi keluar dan tidak mengganggu pesakit.
Tujuan lain ialah sebagai tanda berterima-kasih kepada makhluk ini yang sudi datang membantu manusia melakukan rawatan sehingga membolehkan pesakit sembuh.
Di negara kita masa kini, nampaknya dengan semakin kompleksnya kehidupan bermasyarakat, bersama pelbagai keperluan dan tuntutan, hasil dari kecanggihan hidup yang merupakan akibat langsung dari pelbagai sumbangan sains dan teknologi moden, maka kelihatan semakin bertambah pula keperluan ahli masyarakat kepada khidmat perbomohan. Dan segala sesuatu yang berlangsung dalam dunia perbomohan di tanah air kita itu ditandai kehebatan dan titik puncaknya dengan apa yang berlaku di antara mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam dengan institusi perbomohan yang dikepalai oleh Mona Fandy dan suaminya serta seorang pembantu beliau, di mana kesemua mereka terpaksa berakhir dengan mengalami kematian yang cukup tragis, sekalipun dalam bentuk dan cara yang berbeza.
Kemudian, lanjutan yang kelihatannya berupa semacam part and parcel dengan institusi perbomohan ini ialah praktis sihir yang diamalkan di tengah-tengah masyarakat kita. Amalan ini juga kelihatan berlangsung dalam kadar yang agak baik di tengah masyarakat kita masa kini, sebagaimana kejadian-kejadiannya dipaparkan dalam pelbagai majalah tempatan yang cukup popular dan cukup ramai peminatnya dari kalangan ahli masyarakat kita masa kini. Sejumlah jenama majalah yang dikepalai oleh Mastika—Pesona, Cermin Misteri, Paparan Misteri, Buletin Misteri, Kisah Benar, Bicara—adalah dipenuhi dengan pelbagai cerita yang aneh-aneh, termasuk cerita yang berkaitan dengan perbuatan sihir yang dilakukan oleh setengah pihak kepada pihak yang lain.
Istilah sihir sebenarnya merujuk kepada sesuatu perbuatan yang luar biasa, yang berjaya dilakukan oleh para ahlinya melalui bantuan jin atau syaitan (Kilani 1991:220). Dalam praktis sihir ini, jin atau syaitan dijadikan perutusan supaya merasuk dan mengganggu individu-individu tertentu, dan hasilnya adalah kerap bahawa kalangan mangsa akan mengalami pelbagai kesusahan dan kesakitan.
Namun, adalah amat perlu difahami bahawa kerja memberi bantuan untuk melaksanakan tugas dalam kerja sihir ini akan hanya benar-benar menarik minat jin atau syaitan, sekiranya kerja-kerja ini didorong oleh makhluk manusia itu sendiri. Dorongan tersebut boleh berlaku dalam pelbagai cara dan upacara, yang pada keseluruhannya boleh disimpulkan dalam satu ungkapan sahaja, iaitu cara dan upacara pemujaan jin. Dan di sinilah sekali lagi, secara yang tidak dapat dielakkan lagi, akan berlakunya amalan khurafat.
Satu lagi amalan lumrah yang tidak kurang juga pengamalnya masa kini ialah amalan penggunaan azimat-azimat serta tangkal tertentu. Hal ini terserlah jelas misalnya, dalam pembicaraan kes kematian isteri kedua Raja Di Hilir Perak yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Taiping, Perak sekarang (Mac, April, 2003).
Di samping itu ia juga ditandai dengan tersebar secara meluas dan larisnya di pasaran buku-buku yang berkaitan dengan azimat dan mentera. Buku-buku berkaitan boleh didapati di kedai-kedai buku yang menjual buku-buku agama di seluruh tanah air kita. Di antara buku-buku yang berkaitan ialah seperti Kitab Mujarrobat Melayu, Kitab Taj al-Mulk, Kitab Senjata Sulit, Kitab Senjata Dunia, Primbon Lengkap Kunci Keselamatan, 1000 Hikmat dan Iain-lain (Kilani 1991:202-203).
Azimat sebenarnya merupakan suatu benda yang dipercayai dapat menahan bahaya, malapetaka, serangan dari kuasa ghaib bagi orang yang memakainya. Azimat juga diyakini mempunyai kekuatan ghaib dan dipercayai ada khadamnya dari makhluk-makhluk ghaib.
Khadam-khadam ini dipercayai dapat membantu pemakai azimat berkenaan untuk mencapai pelbagai keperluan diri. Di samping diyakini juga bahawa khadam-khadam ini dapat menyelamatkan tuan azimat berkenaan daripada pelbagai ancaman dan usaha jahat dari lawan dan musuh yang bermaksud jahat terhadap diri, keluarga dan harta benda pemilik azimat tersebut (Rahmat 1983:15; dan Kilani 1991: 204-205).
Adalah ternyata bahawa semua keyakinan yang dimiliki oleh pemakai azimat seperti yang tercatat di atas adalah sesuatu yang boleh membawa kepada syirik terhadap Allah. Dan di sinilah duduknya unsur khurafat yang dibawa oleh pemakai azimat berkenaan.
Demikianlah sebahagian daripada amalan-amalan kontemporari yang sedang berlangsung dalam tempoh masa kini di dalam masyarakat kita yang boleh dijadikan sebagai bahan bukti betapa unsur khurafat ini masih terus bertapak subur dalam kehidupan masyarakat Melayu-Muslim di tanah air kita. Apa-apa yang dipilih untuk dicatatkan dalam kesempatan ini hanyalah merupakan wakil kepada amalan-amalan lain yang tidak sempat dicatatkan oleh kesempitan ruang dan waktu.
Penutup
Sesungguhnya praktis khurafat masih terus bertapak kukuh dan berlangsung dalam kadar yang agak subur di tengah-tengah masyarakat kita di Malaysia. Usaha-usaha pembenterasan mesti terus digerakkan agar masyarakat dapat diselamatkan daripada terjebak dalam unsur negatif ini. Strategi dan pendekatan berkesan dalam usaha pembenterasan tersebut mesti dicari dengan bersungguh-sungguh.
Dalam proses kerja pembenterasan tersebut, tentulah kerja-kerja pendakwahan merupakan senjata yang paling berguna. Namun, pengisian program dakwah berkenaan mestilah diatur dengan teliti, dengan diberi fokus khusus kepada kedua-dua aspek utama dalam dakwah, iaitu isi kandungan dakwah dan pendakwah. Isi kandungan hendaklah disesuaikan dengan kumpulan sasarnya, di samping pendakwah mestilah juga dari kalangan yang terlatih dan berkelayakan.
Di samping itu segenap kesempatan yang terbuka, perlu pula bersifat proaktif untuk mewujudkan pelbagai kesempatan, yang dipergunakan sepenuhnya untuk menyalurkan mesej dakwah dalam usaha yang berterusan dan tidak kenal penat dan jemu. Mudah-mudahan kita akan dapat juga nantinya menyelamatkan ahli masyarakat kita dari menjadi mangsa virus khurafat yang cukup bahaya ini, Insya-Allah!
03:14
|
Labels:
Artikel Pilihan
|
Rakan Dakwah
Mengenai Blog Ini
Blog ini adalah merupakan halaman rasmi bagi Badan kerohanian dan Sahsiah SMAP Labu. Ia memaparkan mengenai struktur pentadbiran BSK SMAPL dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun. Ia juga memuatkan pautan ke halaman milik ahli-ahli BSK SMAPL disamping memaparkan artikel-artikel mengenai Islam dan lain-lain.
0 comments:
Post a Comment